Minggu, 02 Maret 2014

Mustapa Luang Masa Lawat Mangsa Banjir


RANTAU PANJANG – Di sebalik kesibukan menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, namun Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed sempat meluangkan masa, melawat mangsa banjir di Kelantan.

Beliau yang tiba kira-kira 11.30 pagi tadi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Baharu telah melawat pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai, Pasir Puteh.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  kemudiannya berangkat ke Jedok, Jeli dan SK Kelewek, Tanah Merah sebelum mengakhiri lawatannya ke SK Gual Tinggi, di sini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Jeli berkata sejak Kelantan dilanda banjir kira-kira tiga hari lepas berkata, tiada aduan diterima daripada mangsa banjir di beberapa jajahan yang terlibat dengan bencana itu yang berkaitan dengan pelbagai bantuan yang dihulurkan menerusi agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

“Kelantan belum lagi berhadapan keadaan mencemaskan sebagaimana di Pahang dan Terengganu kerana baru pusingan pertama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mustapa berkata kerajaan akan menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa yang terlibat selepas musim tengkujuh berakhir sebagaimana yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini.

Di Kelantan sehingga petang ini, lebih 2,000 mangsa dari lima jajahan masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar