Tampilkan postingan dengan label lapor. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label lapor. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 22 Februari 2014

Tiada kesalahan jenayah kenapa lapor polis Ketua Ekonomis Bank Islam Azrul Azwar

Harakahdaily, 22 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Ekonomis Bank Islam Azrul Azwar Ahmad Tajudin yakin, tidak ada sebarang kes jenayah berlaku antara beliau dengan Bank Islam.

Oleh itu, beliau terkejut apabila mengetahui ada laporan polis dibuat terhadap beliau oleh kakitangan Bank Islam.

"Saya ingin menjelaskan, dakwaan yang terkandung dalam laporan polis yang dibuat oleh majikan saya tidak mengandungi sebarang kesalahan jenayah.

"Paling kuatpun hanya isu sivil yang kini tertakluk kepada Siasatan Dalaman (DI) antara majikan dengan saya," kata Azrul dalam kenyataannya.

Beliau yang kesal dengan laporan polis itu menyifatkan kes ini tidak sepatutnya menjadi kes polis.

"Saya tidak nampak mengapa kes ini menjadi kes polis.

"Isu ini yang dibesarkan kepada yang tidak sewajarnya adalah satu taktik untuk mengugut dan gangguan ke atas saya," kata Arzul.

Bank Islam membuat laporan polis terhadap ketua ekonomisnya Azrul Azwar Ahmad Tajudin atas dakwaan memiliki dan mengedar dokumen sulit syarikat tanpa kebenaran.

Laporan oleh ketua jabatan sumber manusia Bank Islam, Jamilah Abdul Sallam itu mendakwa dokumen itu melibatkan satu cadangan korporat melibatkan bank tersebut.

"Encik Azrul yang tidak mempunyai akses dan autoriti terhadap dokumen tersebut telah menyerahkan dokumen tersebut kepada pihak ketiga yang tidak berkaitan tanpa mendapatkan kelulusan atau kebenaran," dakwa Jamilah.

Dalam laporan bertarikh 18 Januari itu, beliau juga mendakwa Azrul menyalin dokumen "sulit dan sensitif" terbabit dan menghantarnya melalui emel kepada pihak terbabit.

Media Singapura sebelum ini membuat laporan, Azrul dalam analisanya meramalkan Pakatan Rakyat akan menang tipis dalam pilihan raya umum nanti.

Ekoran itu, Bank Islam telah menggantung Azrul dari tugasnya dan Siasatan Dalaman dijalankan ke atas beliau.

Minggu, 16 Februari 2014

Lapor Jika Alvin Vivian Pos Hasutan Bahan Lucah

Datuk Jailani Johari

KUALA TERENGGANU – Orang ramai disaran membuat aduan kepada pihak berwajib jika terlihat pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang masih memuat naik gambar atau apa-apa kenyataan berbaur hasutan di laman sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata masyarakat juga boleh memantau perkara itu dan jika berulang boleh membuat aduan.
Sehubungan itu, beliau berharap pasangan terbabit mematuhi syarat yang ditetapkan oleh mahkamah dengan tidak mengulangi perbuatan itu.
“Dalam hal ini, saya minta supaya orang awam turut memantau apa yang dilakukan oleh pasangan ini dalam blog mahupun laman sosial mereka agar perkara yang sama tidak berulang.
“Tidak semestinya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang boleh memantau perkara ini, orang ramai juga boleh memantau dan jika ternampak boleh buat aduan terus kepada pihak berwajib,” katanya kepada pemberita di sini.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin membenarkan Alvin dan Vivian dijamin RM30,000 seorang berserta empat syarat iaitu pasangan itu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah; melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan; dilarang memuat naik artikel, komen, gambar lucah serta apa-apa bentuk penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman; serta dihalang menggunakan peranti komunikasi berangkaian bagi mengakses Internet.
Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook ‘Alvin and Vivian – Alvivi’ di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk “Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!” yang mengandungi logo Halal.
Dalam perkembangan lain, Jailani berkata SKMM hanya akan bertindak jika menerima aduan berhubung penyalahgunaan internet atau laman sosial termasuk blog-blog.
Bagaimanapun beliau berkata dalam kebanyakan kes, kehadiran SKMM lebih kepada membantu siasatan memandangkan kes-kes itu akan dirujuk kepada pihak yang berkaitan terlebih dahulu.
“Sebagai contoh, penyebaran ajaran Syiah di internet adalah di bawah tanggungjawab jabatan agama manakala isu kantin sekolah yang kecoh sebelum ini di bawah Kementerian Pendidikan.
“Dalam hal ini, SKMM akan membantu apa yang perlu termasuk dari segi pemantauan. Jadi, sebab itulah saya rasa kita perlu wujudkan kawalan kendiri bagi mengatasi masalah ini. Mana-mana orang awam yang ada maklumat mengenai perkara ini, mereka boleh buat laporan terus kepada kami,”katanya. – BERNAMA